Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penambahbaikan infrastruktur sekolah termasuk melibatkan aktiviti luar kelas perlu dilakukan bagi mengelak kemalangan pelajar dihempap tiang gol berulang.

Sehubungan itu, Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Shahronizam Noordin berkata, siasatan terhadap punca kemalangan maut melibatkan murid berusia 11 tahun di Sekolah Kebangsaan St Anthony, di Bintulu, Sarawak baru-baru ini perlu dilaksanakan secara terperinci.

Ia kerana kemalangan melibatkan tiang gol dilihat kerap berlaku, katanya.

“Jika diperhatikan kes kemalangan yang hampir setiap tahun berlaku ialah kes kemalangan dihempap tiang gol. Kebanyakannya melibatkan kematian. Mac, April, 2000 – maut; Januari, 2008 – maut; November, 2010 – maut; September, 2011 – maut; Julai, 2013 – maut; April, 2014 – maut; Julai, 2016 – maut; September, 2018 – maut dan terbaru Oktober, 2022 – maut.

“Apakah punca sebenarnya yang boleh menyebabkan kemalangan, adakah berpunca dari perilaku tidak selamat atau keadaan tidak selamat seperti reka bentuknya?

“Semua ini perlu dibuat penyiasatan dan pemeriksaan yang terperinci agar penambahbaikan yang ‘tepat’ dapat dilaksanakan bagi mencegah berulangnya tragedi dihempap tiang gol,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, Shahronizam mencadangkan supaya reka bentuk tiang gol ditambah baik sebagai langkah mengelak kemalangan maut.

Antaranya adalah reka bentuk tiang gol yang kukuh dan pemasangan jaring.

Selain itu, katanya, pemeriksaan tiang gol secara berkala perlu dilakukan sebelum digunakan.

“Ia mestilah cukup selamat untuk menahan sebarang hentakan bola agar tidak tumbang. Mempunyai sudut yang betul agar dapat seimbang dengan pemberat.

“Jaring yang dipasang hendaklah bebas, supaya apabila bola masuk ke dalam tiang gol ia tidak boleh melantun keluar serta merta. Ia perlu direka sedemikian supaya tidak mencederakan pemain. Sebarang cangkuk atau bucu tajam yang ada perlu dipasang dengan penutup.

“Kedudukan tiang gol mestilah tetap kekal, sama ada ia digunakan atau tidak lagi bagi mengelakkan risiko terbalik. Begitu juga, ia mestilah dilarang bagi mana-mana orang (murid) untuk memanjat jaring atau bingkai tiang gol.

“Pemeriksaan ini perlu dilaksanakan secara berkala atau sekerap mungkin sebelum digunakan. Jika ia berisiko jangan diguna dan segera dibaiki,” jelasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Murid 11 tahun maut ditimpa palang gol ketika aktiviti kokurikulum