Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib berucap ketika hadir pada program Sembang Santai Ukhwah Anak Chemomoi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 30 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak kirim salam buat warga Pelangai.

Salam tersebut disampaikan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar ketika berucap bersama jentera di sini malam tadi.

Nizar memaklumkan ayahnya masih boleh mengingati nama-nama penempatan Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

“Ayahanda menyebut satu persatu nama tanah rancangan Felda di kawasan ini ketika saya melawat ayahanda. Sewaktu saya jumpa dengan ayahanda dia boleh sebut satu persatu Felda ini. Saya pun belum jejak lagi.

“Ayahanda tanya, macam mana dengan Felda Kemahal, Felda Kemasul, Felda Chemomoi,” katanya.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai Ukhwah di Felda Chemomoi malam tadi.

Jelas Nizar, masyarakat Felda bukanlah asing kepadanya kerana kerana allahyarham datuknya, Tun Abdul Razak Hussein merupakan orang yang menubuhkan Felda.

Maka tidak hairanlah warga Felda sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya.

Beliau terharu melihat sambutan masyarakat Felda yang mengambil berat dan bertanya khabar kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Ramai yang mendoakan, ada yang jumpa saya di sini menangis-nangis tanya keadaan Najib. Saya ucapkan terima kasih kepada yang tanyakan keadaan ayahanda, dia masih semangat walaupun dianiaya dan difitnah tetap tenang tetap sabar.

“Kalau saya di tempatnya tidak tahu bagaimana, dengan tanggung tekanan dan aibnya lagi,” katanya.

Justeru  sebagai orang parti, kesetiaannya tidak berbelah-bagi dan sentiasa berdoa agar bapanya dibebaskan. – MalaysiaGazette