KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Belia Sabah (DBS) 2023 yang julung kali diadakan bakal menyaksikan seramai 262 calon bersaing sepanjang enam hari mewakili 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan menyifatkan penyertaan kali ini di luar jangkaan sekaligus menggambarkan minat anak-anak muda terhadap program kepimpinan belia berprestasi tinggi.

“Pada mulanya MBS hanya menjangkakan penyertaan seramai 5,000 orang pemilih. Sehingga 20 September 2023 daftar pemilih hanya mencapai 3, 782 pemilih yang berdaftar dan Jawatankuasa DBS sebulat suara untuk melanjutkan tempoh pendaftar sehingga 30 September 2023 atas faktor daftar pemilih yang masih rendah dan beberapa kawasan DUN belum mendaftarkan calon mereka masing-masing.

“Lonjakan penyertaan seramai 32,985 orang pemilih sepanjang tempoh pelanjutan di dalam DBS memberi gambaran baharu kepada MBS bahawa belia di negeri ini sangat dahagakan program kepimpinan berprestasi tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Abqaree, proses undian akan bermula 2 hingga 7 Oktober itu akan membabitkan seramai 32,985 orang pemilih berdaftar di seluruh Sabah.

“Proses pengundian akan dilaksanakan pada 2 hingga 7 Oktober melalui QR Code yang akan dikeluarkan melalui halaman Facebook rasmi MBS dan IKEBS pada 2 Oktober pukul 12.01 pagi.

“Seramai 32,985 orang pemilih berdaftar daripada kalangan belia berusia 15 hingga 35 tahun akan terlibat di dalam pemilihan pada kali ini”,ujarnya.

Sebagai rekod, DBS merupakan program simulasi persidangan DUN Sabah bagi memberi peluang kepada belia menyuarakan pandangan dan idea ketika sesi persidangan.

Persidangan berkenaan dijadualkan berlangsung 30 dan 31 Oktober.

Pendaftaran calon dan pemilih berusia 15 sehingga 35 tahun yang dibuka bermula 2 September lalu sehingga hari ini.-MalaysiaGazette