Kasim Samat ditemani Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifudin Abdullah menyantuni penduduk di Pasar Malam Felda Chemomoi hari ini

 

BENTONG – Calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, beliau kini sudah masuk ‘gear 4’ berkempen menjelang hari pengundian pada 7 Oktober ini.

Beliau yang merupakan calon nombor satu dalam kertas undi menambah, sepanjang berkempen seminggu lalu, sambutan pengundi adalah positif.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar, sekarang pecutan fasa kedua.

“Ada pengundi yang beritahu akan sokong saya. Semalam juga ada penyertaan 30 ahli baharu (PN),” katanya yang mahu menyantuni seramai mungkin pengundi Pelangai.

Kasim yang ditemui di pasar malam Felda Chemomoi hari ini mendakwa, sepanjang berkempen dan menyantuni pengundi, tiada lagi yang tidak menyokong PN.

“Rata-rata mahu memberi sokongan padu kepada saya, mereka terang-terangan sokong PN,” ujarnya lagi.

Seramai 16,456 orang pengundi bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 7 Oktober ini.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam (BN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (bebas). – MalaysiaGazette