Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas di Jalan Gerik-Baling awal pagi ini. - Foto Ihsan JBPM Perak.

GERIK – Dua maut termasuk seorang kanak-kanak manakala 11 lagi mangsa cedera dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Gerik-Baling dekat sini awal pagi ini.

Mangsa yang maut adalah seorang lelaki iaitu pemandu kereta dan seorang kanak-kanak lelaki.

Setakat ini, maklumat lanjut berhubung mangsa terlibat masih belum diperoleh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar 2.32 pagi.

“Ketika jentera tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace dan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang membabitkan 13 mangsa.

“Dua daripadanya disahkan maut di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan ringkas pagi ini.

Sabarodzi berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatanmanakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kesemua 11 mangsa yang cedera menaiki van terdiri daripada tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki,” ujarnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Zulhelmi Bahari tamat kira-kira 5.51 pagi. – MalaysiaGazette