Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mohamad Sabu di Pejabat Perdana Menteri bagi berbincang dan mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam mendapatkan penyelesaian berhubung kekurangan bekalan beras di negara ini.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan prihatin akan isu semasa khususnya apabila rakyat ingin mendapatkan jaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan harga beras putih import (BPI).

Malah, kerajaan sedaya upaya meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras global.

“Ini termasuklah menerusi beberapa langkah intervensi yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga (BPI) dan peningkatan permintaan terhadap BPT di pasaran.

“Diharap langkah ini akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi. Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook.

Anwar berkata, fenomena kenaikan harga beras ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut melibatkan negara serantau susulan tindakan 19 buah negara yang telah menghadkan eksport beras untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.

Terdahulu beliau telah pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi berbincang dan mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.

Mohamad hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan empat langkah interversi tambahan termasuk menyerap harga BPI bagi menangani masalah kekurangan BPT dalam pasaran.

Kerajaan memutuskan agar harga harga BPI diserap oleh Kerajaan mulai 5 Oktober 2023 bagi membolehkan BPI diperolehi dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram (kg). Ini memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad.

Perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan BPI.

Ini bermaksud semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bagi memberi keutamaan pembekalan BPT kepada rakyat.

Kerajaan juga katanya, akan menumpukan pemerkasaan edaran BPT menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

“Kerajaan mengarahkan Fama untuk meningkatkan kapasiti pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk ke kedai-kedai runcit,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast