Sebahagian daripada 199 orang warga asing terdiri Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Pakistan diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka dalam satu operasi bersepadu di Plaza Melaka Sentral, semalam.

MELAKA – Hampir 200 warga asing di negeri ini diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia negeri dalam satu operasi bersepadu di bangunan sekitar terminal pengangkutan awam, Melaka Sentral, di sini semalam.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, daripada jumlah itu, seramai 23 lelaki warga asing berusia 20 hingga 40-an ditahan atas kesalahan tinggal secara haram dan melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua warga asing terdiri daripada Myanmar (16), Bangladesh (7) telah ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen  6(1) (c ) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen  15(4) akta yang sama.

Sebahagian daripada 199 orang warga asing terdiri Myanmar, Bangladesh,
Indonesia, Nepal dan Pakistan diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka dalam satu operasi bersepadu di Plaza Melaka Sentral, semalam.

“Ketika diserbu, sebahagian mereka bertindak melarikan diri namun dapat ditangkap anggota operasi tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu seramai 199 orang warga asing telah diperiksa terdiri daripada Myanmar (102), Bangladesh (68) Indonesia (9), Nepal (17) dan tiga warga Pakistan.

“Bagaimanapun, seramai 176 didapati mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah dan teratur untuk berada di Malaysia.

“Ketika diperiksa, kebanyakan mereka sedang membeli belah dan berjalan-jalan untuk menghabiskan waktu bercuti hujung minggu di kawasan sekitar Melaka Sentral,” katanya.

Seramai 23 lelaki warga asing berusia 20 hingga 40-an berjaya ditahan atas kesalahan tinggal secara haram dan melebihi tempoh yang dibenarkan.

Tambahnya, operasi bersepadu bermula 2.30 petang hingga 5 petang itu turut melibatkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Polis Diraja Malaysia dengan kekuatan 49 pegawai dan anggota.

Bulan lalu, MalaysiaGazette melaporkan lokasi di pintu masuk pelancong ke Melaka tidak ubah seperti ‘Mini Dhaka’ apabila semakin ramai warga asing terutama Bangladesh membanjiri kawasan itu sejak lapan tahun lalu.

Tinjauan di Plaza Melaka Sentral mendapati, puluhan warga asing ‘bersidai’ di kaki lima bangunan rumah kedai dua tingkat itu sehingga mencacatkan pemandangan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Keadaan itu turut diakui pekerja dan orang ramai yang bimbang kawasan ‘Mini Dhaka’ itu menjadi tidak terkawal seperti di Pasar Borong Selayang, Selangor sehingga mengugat ketenteraman rakyat negara ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Plaza Melaka Sentral seperti ‘mini Dhaka’