KUALA LUMPUR – Polis setakat ini telah menahan seramai lapan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan tiga lelaki warga Sri Lanka di sebuah rumah kedai empat tingkat di Sentul pada 22 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tangkapan itu termasuk dua suspek utama yang diburu dalam kes tersebut yang kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 40-an.
Katanya, dua suspek pertama yang ditahan pada malam hari kejadian adalah sepasang suami isteri iaitu ibu bapa kepada salah seorang mangsa dan tahanan reman terhadap mereka akan disambung sehingga 5 Oktober ini.
“Bagaimanapun suspek lelaki itu dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan pada Sabtu lalu selepas mengadu sakit dadah dan sedang disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
“Ini menjadikan baki tujuh lagi suspek masih direman untuk membantu siasatan dan akan tamat reman pada hari ini. Kita akan meminta untuk sambung reman ke atas mereka,” katanya dalam sidang media selepas program Back To School di sekolah Victoria Institution di sini hari ini.
Mengulas lanjut dalam perkembangan kes tersebut, Allaudeen berkata, empat lagi suspek lelaki yang ditahan terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang lelaki Pakistan di sebuah rumah di Petaling Jaya dekat sini pada minggu lalu.
“Keempat-empat individu itu diberkas kerana mereka ini dipercayai bersubahat dan melindungi dua suspek utama itu bersembunyi daripada dicekup polis.
“Hasil soal siasat akhirnya berjaya membawa kepada penahanan dua suspek utama yang dikehendaki itu pada Isnin lalu sebelum direman membantu siasatan.
“Soal motif pembunuhan itu, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” tegasnya.
Dalam kejadian pada jam lebih kurang pukul 11 malam pada 22 September lalu, polis menemui mayat ketiga-tiga mangsa dalam keadaan ditindan dan tangan dan kakinya terikat manakala kepala dibalut dengan plastik di dalam bilik setor aras dua rumah kedai empat tingkat di Jalan Perhentian, Kampung Kovil, Sentul.
Terdahulu, polis menerima aduan orang awam yang mendengar jeritan dan bunyi bising disyaki berlakunya pergaduhan sebelum pemeriksaan membawa kepada penemuan kesemua mayat tersebut dan penahanan pasangan suami isteri di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Allaudeen menegaskan, kematian salah seorang suspek dalam tahanan tidak menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.
Malah kertas siasatan kes dijangka siap pada minggu ini sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan juga membabitkan suspek yang berusia 43 tahun yang meninggal dunia itu sudah berada pada peringkat akhir untuk dilengkapkan.
“Berhubung kematian suspek kelmarin, siasatan terhadapnya hampir selesai dan tidak akan menjejaskan siasatan. Kita jangka siasatan akan dapat diselesaikan dalam minggu ini.
“Kemudian, kita akan menyerahkan kertas siasatan yang dilengkapkan kepada Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” ujarnya. – MalaysiaGazette