Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perebutan antara dua pihak penunda kenderaan ke atas sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan akhirnya membawa kepada rusuhan di Kampung Malaysia Tambahan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada pukul 1.37 pagi, Pusat Kawalan IPD Cheras telah menerima makluman daripada orang awam mengenai satu kes rusuhan yang berlaku di kawasan tersebut.

Katanya, pengadu mendakwa pergaduhan itu membabitkan sekumpulan individu warga tempatan menggunakan senjata.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca daripada satu kes kemalangan kereta dan pergaduhan dua pihak untuk menunda (towing) kereta nahas tersebut.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan menyiasat di bawah  Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zam Halim, bertindak atas maklumat, pada pukul  kurang 11.15 pagi hari ini sepasukan polis IPD Cheras telah membuat tangkapan ke atas lapan lelaki warganegara yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Pada masa yang sama, menurutnya, usaha sedang diteruskan polis untuk mengesan suspek yang masih bebas selain turut soal siasat terhadap lapan suspek yang ditahan hari ini.

“Polis  tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang gagal mematuhi undang-undang negara. Tindakan tegas akan diambil agar masyarakat sentiasa berada di dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.-MalaysiaGazette