Mohamad Hafiz menunjukkan ikan unik yang dikailnya.

GEORGE TOWN – Aktiviti memancing seorang nelayan bersama dua anaknya di perairan Pulau Kendi di sini membawa kepada penemuan sejenis ikan unik.

Mohamad Hafiz Mohd Ariffin, 37, berkata, ikan seberat 320 gram dengan panjang melebihi 30 sentimeter itu mempunyai rupa seakan-akan ‘kacukan’ daripada dua ikan iaitu memiliki badan sembilang manakala kepala pula seperti gelama.

Jelasnya, dia terkejut apabila melihat ikan tersebut tersangkut pada mata kailnya memandangkan sepanjang menjadi nelayan 18 tahun dia belum pernah jumpa spesies berkenaan.

Ikan jenis sirembo imberbis atau ikan belukor batu kebanyakannya berada di perairan Sarawak namun tidak mudah ditangkap.

“Ketika menarik kail, pergerakan ikan itu agak perlahan dan saya sangka ia adalah ikan belacak namun selepas didaratkan ke dalam bot, rupanya pelik seperti sembilang dan gelama.

“Saya lihat ikan itu agak unik dan cuba dapatkan pendapat rakan-rakan nelayan lain mungkin tahu tetapi semua terkejut serta mendakwa ia mungkin spesies luar negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia juga mengalu-alukan pihak berkaitan yang mahu mengambil ikan itu bagi mengkaji spesis dan habitatnya.

“Ikan itu masih dalam simpanan saya ketika ini dan saya simpan dalam peti sejuk bagi menjaga strukturnya agar pihak berminat dapat melakukan kajian.

“Manalah tahu jika ia adalah ikan laut dalam atau mengalami perubahan rupa akibat faktor tertentu mahu pun spesies luar yang boleh mengancam ikan di perairan kita, sekurang-kurangnya ia beri manfaat jika dibuat kajian,” katanya.

Sementara itu Jurucakap Jabatan Perikanan Pulau Pinang berkata, ikan berkenaan adalah jenis sirembo imberbis atau ikan belukor batu.

Katanya, kebanyakan ikan tersebut berasal dari perairan Sarawak dan ia memang jarang dapat ditangkap tetapi biasanya terperangkap di dalam pukat tunda.

“Ia adalah ikan dasar laut yang selalunya berada di kawasan mempunyai batu karang. Sekiranya nelayan berkenaan sedia memberikan ikan itu, kita berminat untuk simpan bagi tujuan penyelidikan sekali gus dapat mengetahui lebih lanjut maklumat mengenainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Untung la kau dapat 2 spesis sekali mancing. Pagi masak sembilang petang goreng gelama. Hehehe

Comments are closed.