Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim (kiri) diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian (tengah) dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpanan SSPN 2023 di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 sempena sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

BMS 2023 merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat di negara ini.

Julung kali BMS dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh negara bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober.

BMS 2023 bertemakan “Robotik: Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan” dengan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda.

Konsep tersebut amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.

Ia juga selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Tidak ada istilah lewat kepada mana-mana ibu bapa untuk memulakan tabungan pendidikan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) demi pendidikan dan masa depan anak-anak.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim (dua kanan) diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian (kiri) dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) menyampaikan replika cek berjumlah RM2,023 kepada pemenang cabutan siri WOW! Syoknya Raya Mohd Yazeed Othman, 37 (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan (BMS) 2023 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

Prinsip itu digunakan oleh Mohd Yazeed Othman pemenang hadiah wang tunai cabutan siri WOW! Syoknya Raya berjumlah RM2,023 anjuran PTPTN.

Juruteknik berusia 37 tahun itu mula membuat simpanan pendidikan untuk lima orang anaknya berusia antara satu hingga 10 tahun sejak Oktober tahun lalu.

“Inspirasi saya menyimpan adalah untuk anak-anak sebab akan datang perbelanjaan pendidikan memang sangat-sangat mustahak. Simpan SSPN adalah salah satu cara bagi memulakan simpanan yang perlu kita sambut.

“Walaupun saya menabung agak lewat tapi ini adalah satu permulaan dan sebagai ibu bapa setiap bulan adalah tanggungjawab untuk kita menyediakan tabungan pendidikan untuk masa depan setiap anak,” katanya sambil menambah akan menyimpan wang kemenangan dalam Simpan SSPN anak-anaknya.

Mohd Yazeed ditemui pada majlis pelancaran Bulan Menabung Simpa SSPN (BMS) 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim (dua kanan) diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian (kiri) dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) menyampaikan replika cek berjumlah RM2,023 kepada pemenang cabutan siri WOW! Syoknya Raya B Machap, 39 (tiga kanan) pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan (BMS) 2023 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

Seorang lagi pemenang, B. Machap berusia 39 tahun berterima kasih kepada PTPTN kerana memperkenalkan Simpan SSPN yang dianggap sangat berguna sebagai kaedah tabungan bagi pendidikan anak-anaknya.

Pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu yang menyimpan dalam Simpan SSPN untuk pendidikan tiga orang anaknya berusia antara 11 hingga 15 tahun tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang.

“Saya mula menyimpan pada Mac lalu. Tiba-tiba ada orang telefon saya kata, puan menang cabutan Simpan SSPN.

“Perasaan saya gembira sangat dan bangga. Terima kasih PTPTN. SimpanSSPN memang cara terbaik untuk membuat simpanan. Saya buat untuk anak-anak demi masa depan dan bagi memudahkan mereka sambung belajar,” kata beliau yang juga berhasrat untuk menyimpan wang yang dimenangi dalam Simpan SSPN.

Sementara itu, pengunjung yang hadir memuji PTPTN yang mengadakan program BMS 2023 di tempat awam.

Menurut mereka, ia merupakan satu cara untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan bagi ibu bapa merancang kewangan dengan cara menyimpan dalam Simpan SSPN demi masa depan anak-anak.

Pengunjung, Syarifah Nor Aini Syed Zin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan (BMS) 2023 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

“Pada saya program macam ini sangat bagus sebab boleh menyebarluaskan lagi kepentingan menabung untuk masa depan terutama terhadap pendidikan. Sebab sekarang kos makin meningkat dan tidak terkecuali kos pendidikan.  Jadi lebih baik mula menabung daripada sekarang,” kata Syarifah Nor Aini Syed Zin.

Pengunjung, Azuan Halif Abdul Majid bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan(BMS) 2023 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

“Program macam ini bagus dan saya datang bagi menyokong usaha PTPTN. Paling minimun saya simpan RM50 sebulan untuk seorang anak.  Semua sekali RM250 sebulan bagi lima orang dari umur dua tahun hingga tingkatan 4,” kata Abdul Halim Abdul Majid.

Pada majlis itu Sekolah Kebangsaan Desa Petaling dinobatkan sebagai juara pertandingan Action Song Simpan SSPN 2023.

Guru sekolah itu, Fatiman Nurhanisah Zailani berkata, BMS 2023 cara terbaik bagi mendedah dan mendidik murid sejak dari bangku sekolah mengenai kepentingan menabung selain membuka mata ibu bapa cara terbaik dalam menguruskan kewangan untuk pendidikan anak-anak.

“Kalau ikutkan sebelum ini mereka (pelajar) tidak ada pendedahan mengenai simpanan pendidikan. Dengan lagu dan lirik yang mereka nyanyikan, ada yang tanya ‘cikgu ini maksud dia apa, Simpan SSPN ini apa, simpanan tu macam-mana’. Bagus sangat.

“Saya galakkan ibu bapa menabung dan sebab itu pihak sekolah minta mereka datang ke majlis pelancaran ini supaya dapat lihat sendiri dan terus membuka akaun Simpan SSPN. PTPTN ada reruai untuk mendaftar akaun simpanan pendidikan,” kata Fatiman Nurhanisah.

Juara Action Song BMS SSPN 2023 Sekolah Kebangsaan Desa Petaling bergambar bersama replika cek berjumlah RM3,750 selepas Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpanan SSPN 2023 di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

Cabutan BMS 2023 diteruskan lagi pada tahun ini dengan hadiah wang tunai yang lebih lumayan berjumla RM75,000 kepada seramai 66 pemenang. Pendeposit yang membuat penambahan simpanan melalui aplikasi myPTPTN akan mendapat kelayakan cabutan berganda.

Untuk maklum lanjut berkenaan BMS 2023 layari www.ptptn.gov.my/BMS2023 .- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast