KUALA LUMPUR – Sikap segelintir pemimpin politik memperlekehkan pembangunan yang usahakan kerajaan termasuk membina jalan raya menunjukkan mereka memahami Islam dengan cara yang sempit dan dangkal.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mereka melihat pembangunan melibatkan kemudahan rakyat sebagai perkara kecil sahaja maka ia tidak digerakkan dengan bersungguh-sungguh.
Menurut beliau, mereka mungkin melihat Islam hanya pada menegakkan hukum semata-mata seperti hukum ibadat, munakahat, muamalat dan jenayah lalu memperkecilkan usaha kebajikan untuk orang ramai.
“Mereka lupa bahawa Islam agama kebajikan dan pembangunan bagi rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd Khairuddin mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar yang merendah-rendahkan usaha kerajaan membina jalan raya untuk kemudahan rakyat.
“Kalau setakat jalanlah, babi dalam hutan pun buat jalan,” kata Pesuruhjaya Pas Pahang tersebut seperti dipetik daripada rakaman video yang tular melalui media sosial sejak semalam.
Mohd Khairuddin memberitahu, menyediakan kemudahan untuk rakyat seperti jalan adalah sebahagian amanah besar dan tanggungjawab pihak berkuasa.
Beliau menambah, dengan sebab jalan disediakan, rakyat dapat melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan bermula daripada ibadah, muamalat dam bersosial.
“Tidakkah besar pahala diperolehi oleh pemerintah yang melaksanakan tanggungjawab ini? Ia memberikan pahala yang panjang di akhirat,” jelasnya.
Mohd Khairuddin turut mengingatkan negara dalam Islam ditubuhkan untuk menyusun atur kehidupan manusia agar mereka memperolehi nikmat kehidupan yang baik.
Beliau berkata, itulah maksud pemerintahan dalam Islam iaitu mentadbir bumi dengan agama.
“Antaranya agama mengajar kewajipan menyediakan kemudahan bagi rakyat dan menjanjikan pahala besar dan panjang kepada usaha-usaha kebajikan kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette