Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebanyak 10,995 tiket perlawanan Pestabola Merdeka 2023 telah terjual setakat ini sejak jualan dibuka pada Ogos lalu.

Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung Oktober depan disertai oleh 3 pasukan iaitu India, Palestin dan Tajikistan.

Lautan penyokong seramai 80,000 ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain Harimau Malaya yang bakal berdepan pasukan di ranking 102 dunia, India pada 13 Oktober ini.

Para penyokong masih boleh mendapatkan tiket tersebut secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Satu tiket boleh menonton dua perlawanan pada hari yang sama bermula pada pukul 4.30 petang.

Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang buat pertama kalinya beraksi di atas rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi mengesahkan proses penukaran rumput di SNBJ bermula pada Mac lalu.

Ia berikutan pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Dua pasukan yang menang akan mara ke final manakala pasukan yang kalah bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober 2023 di SNBJ.

Malaysia kini dalam prestasi terbaik selepas mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini. – MalaysiaGazette