KUALA LUMPUR – Harvard Scholar Academy (HSA) iaitu Perunding Pengurusan Hutang menyasarkan untuk menyelesaikan seramai 10,000 pelanggan yang berdepan masalah hutang tahun depan menerusi Program I Coach Kewangan (PICK).
Pengasasnya, Nurull Rahmat berkata, jumlah itu merupakan peningkatan 100 peratus daripada 100 pelanggan yang dibantu menggunakan perkhidmatan syarikat itu yang beroperasi sejak setahun yang lalu.
Menurut beliau, pihaknya komited dengan konsep membantu individu yang layak dengan merendahkan komitmen bulanan mereka dengan mengurangkan kadar faedah pinjaman sedia ada agar mempunyai lebihan simpanan memiliki aset.
“Kami memberi tumpuan kepada pengurusan hutang kerana masalah hutang kini menjadi beban yang besar kepada kesejahteraan kewangan seseorang jika tidak diuruskan dengan berkesan.
“Hampir semua rakyat negara ini sama ada daripada agensi korporat, swasta dan kakitangan kerajaan mempunyai pelbagai jenis hutang termasuk hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan gadai janji.
“Justeru, kami akan melaksanakan strategi seperti belanjawan, menyatukan hutang dengan faedah tinggi dan membuat pembayaran balik tepat pada masanya yang boleh membantu mereka mengurangkan hutang dan mengelakkan tekanan kewangan akibat terjebak dalam perangkap hutang,” katanya di sini baru-baru ini.
Nurull yang merupakan Certified Financial Coach telah membantu lebih 300 individu berdepan masalah hutang yang terdiri daripada golongan profesional, swasta dan kerajaan dengan menyediakan khidmat urus hutang sejak lima tahun lalu.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan dengan membantu menurunkan komitmen bulanan, menyelesaikan hutang lebih awal dan masalah senarai hitam serta hutang-hutang yang belum dijelaskan di bawah pemerhatian bank.
Tahun lalu, beliau membantu 100 individu dengan jumlah hutang bernilai RM10 juta di mana sebanyak 70 peratus pelanggannya adalah penjawat awam dan bakinya golongan profesional.
Pada masa sama, graduan Universiti Teknologi MARA ini juga membantu individu yang berdepan masalah hutang dengan mendapatkan wang tunai, memngumpul simpanan kecemasan dan menambah aset.
Nurull menjalankan sesi bimbingan secara berdepan dengan pelanggan untuk memahami keadaan kewangan semasa mereka, mengenal pasti matlamat kewangan mereka dan membangunkan pelan rancangan untuk mencapai matlamat tersebut.
Kata beliau, sesi itu penting kerana melibatkan belanjawan, pengurusan hutang, perancangan pelaburan, perancangan persaraan dan topik kewangan lain untuk dinilai pihaknya.
Selepas itu penetapan matlamat akan dibuat bagi membantu pelanggannya menentukankan matlamat kewangan yang realistik dan boleh dicapai berdasarkan keadaan individu, toleransi risiko dan tempoh masa mereka yang diperlukan.
Antara matlamat itu termasuk menyimpan untuk persaraan, membeli rumah, membiayai pendidikan atau membina dana kecemasan.
“Kami juga menyediakan pelanggan pendidikan kewangan yang komprehensif, menerangkan konsep kewangan yang kompleks dengan cara yang jelas dan boleh difahami di mana rancangan kewangan disesuaikan untuk setiap pelanggan dengan mengambil kira situasi kewangan, objektif dan toleransi risiko mereka.
“Pada masa sama, kami juga sentiasa menyemak dan menilai kemajuan pelanggan ke arah matlamat kewangan yang ditetapkan mereka kerana sebagai jurulatih kewangan mereka, saya perly membantu mereka berada di landasan yang betul dan membuat pelarasan yang diperlukan pada rancangan mereka apabila keadaan berubah.
“Selain itu, hubungan yang kukuh dan boleh dipercayai dengan pelanggan perlu diwujudkan dengan memupuk komunikasi terbuka dan memastikan keperluan mereka dipenuhi sepanjang proses bimbingan kewangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurull menasihati mereka yang berdepan dengan masalah kewangan agar tidak membuat permohonan pinjaman baharu dari institusi kewangan lain.
Jelas beliau, pendekatan adalah salah kerana berpotensi membawa golongan itu meminjam daripada ah long atau syarikat kewangan berlesen yang mengenakan kadar faedah tinggi.
“Cara itu ibarat gali lubang, tutup lubang untuk menyelesaikan masalah namun bakal memberi bebanan hutang berada pada tahap serius.
“Sebaliknya mereka perlu bijak dengan melakukan penyusunan ke atas hutang mereka dengan disatukan selain membayar pinjaman itu dengan kadar yang rendah,” katanya. – MalaysiaGazette