Datuk Seri Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR – Lima jawatan tertinggi Pas tidak dipertandingkan kerana tiada senarai pencalonan diterima, kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang kekal jawatan itu pada pemilihan bulan ini berkata, selepas tarikh pencalonan ditutup, tiada satu pun sama ada pemimpin dari peringkat kawasan mahu pun dewan menyatakan hasrat untuk bertanding.

“Tidak ada pencalonan daripada kawasan atau dewan-dewan macam mana hendak diadakan pertandingan.

“Sebelum ini pernah berlaku jawatan presiden ada pertandingan kerana ada pencalonan mencukupi untuk melayakkan bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau menyifatkan tiada sebarang masalah untuk lima jawatan tertinggi Pas kekal pada Muktamar Tahunan ke-69 ini.

Menurut Ahmad Samsuri, Pas sentiasa terbuka dalam pertandingan lima jawatan tertinggi itu tetapi pencabarnya mesti mencukupi syarat termasuk ada pencalonan pada peringkat kawasan.

Katanya, pertandingan adalah proses demokrasi biasa dalam parti dan Pas sangat responsif dengan cadangan akar umbi.

Justeru, hanya pemilihan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk sesi 2023-2025 akan diadakan pada Muktamar Tahunan Pas yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Oktober ini di Shah Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast