PUTRAJAYA – Kestabilan politik di Malaysia adalah penting dalam usaha memastikan kedudukan ekonomi Malaysia kembali kukuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengukuhan ekonomi penting untuk mengelakkan para pelabur asing menjauhkan diri dari Malaysia.
Jika ini berlaku, ia akan menyukarkan kepimpinan negara untuk meningkatkan ekonomi negara.
“(Pelabur) Mereka akan hanya datang kalau kita punyai dasar dan strategi yang jelas sudah pasti kestabilan politik. Kalau asyik bertukar kerajaan sudah pasti pelabur tidak akan datang.
“Saranan dan harapan saya kepada semua tidak kira siapa pun dalam politik, pastikan kestabilan negara kita ini wujud supaya kalau kita nak berbahas dan berpolitik pastikan berpolitik berasaskan kepada pembangunan.
“Ini penting untuk kita memulihkan ekonomi negara kita yang bukan sahaja bergantung kepada pelaburan dalam negara tapi mahu menarik minat pelaburan luar negara.
“Berikan keutamaan kepada kepentingan negara dan wujudkan kestabilan sama-sama beri pandangan yang konstruktif bagaimana kita dapat pulihkan ekonomi negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Biodiesel Ke-4 dan majlis pelancaran B100 di sini, hari ini.
Fadillah berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang berkata ada pihak tidak senang dan mahu memecah-belahkan Kerajaan Perpaduan kerana cemburu dengan kekuatan gabungan itu.
Anwar berkata, ini kerana kerjasama melibatkan PH bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu gabungan yang mantap.
“Kerana apa nak pecahkan, (kerana) mereka cemburu, kerana sudah berapa lama (di negara ini) kita belum ada kekuatan yang sebegitu rupa, memang ada usaha yang mahu pecahkan gabungan ini.
“Tapi yang penting Kerajaan Perpaduan ini stabil, untuk apa? Untuk kita bangkitkan ekonomi, untuk apa? Untuk bawa pelaburan luar masuk, untuk apa?
“Untuk kita bela nasib rakyat, pelabur pun dah yakin dengan Kerajaan Perpaduan, jadi jangan kacau, jangan rosakkan. Nak kacau tunggu empat tahun lagilah,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberikan komitmen menyokong Kerajaan Perpaduan supaya ia kukuh dan stabil.
“Kalau siapa yang mengikuti ucapan Premier Sarawak pada sambutan Hari Malaysia di Kuching, beliau memberikan komitmen bahawa apa yang nak difokuskan GPS adalah untuk memastikan kerajaan yang stabil dan kukuh.
“Dengan itu kita akan terus menyokong untuk wujudnya Kerajaan Perpaduan supaya dapat wujudkan suasana politik dan kerajaan yang stabil,” kata Fadillah lagi. – MalaysiaGazette