Seorang gelandangan lelaki diselamatkan oleh anggota bomba dalam kejadian pagi tadi.ihsan bomba selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gelandangan melalui detik cemas apabila terperangkap dalam longkang pada berkedalaman 2.44 meter.

Mangsa bagaimanapun telah berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dalam kejadian yang berlaku di Jalan Tun Abdul Aziz di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai insiden itu pada jam lebih kurang 8.24 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang telah digerakkan ke lokasi tersebut untuk tindakan lanjut.

Bomba terlibat dalam kerja membuka penutup dan mengeluarkan gelandangan yang terperangkap di dalam longkang itu dalam kejadian pagi tadi. Ihsan bomba Selangor

“Keberadaan lelaki di dalam longkang itu disedari oleh orang ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Siasatan awal pasukan mendapati mangsa tidak terjatuh dalam longkang itu seperti yang disangka ramai.

“Ssebaliknya dia masuk melalui longkang kecil yang bersambung ke longkang besar itu lalu tidak dapat mencari laluan keluar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, anggota bomba terlibat kemudiannya menjalankan kerja-kerja untuk mengeluarkan mangsa.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuka penutup longkang itu dengan peralatan khas dan mengeluarkan mangsa yang berada dalam longkang tersebut.

“Mangsa yang berumur 40-an itu didapati terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast