PETALING JAYA – Seorang penolong pengurus eksekutif sebuah hotel didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita bekas penyampai berita televisyen tiga bulan lalu.
Tertuduh juga adalah rakan sekerja mangsa.
Bagaimanapun tertuduh Mohd. Faizal Hussain, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Faizal didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 54 tahun dengan memegang tangan mangsa dengan tujuan untuk mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Damansara pada pukul 1 tengahari 13 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Namun, peguam Nur Afiqah Mohd Ashriee merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana tertuduh perlu menanggung ibu bapa, isteri yang juga seorang suri rumah dan tiga anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Faizal diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang menganggu mangsa dan saksi dalam kes tersebut.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Nor Afiqah Mohd. Ashriee.
Mahkamah menetapkan 20 November bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette