KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak spekulasi kononnya berlaku rombakan Kabinet esok.
Anwar berkata, beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini hanya bagi mempersembah isi mesyuarat Kabinet esok.
“Tak ada apa-apa esok. Belum ada. Tadi saya mengadap Tuanku untuk berbincang Kebinet esok. Tidak ada kaitan lagi dengan perubahan Jemaah Menteri.
“Esok lepas mesyuarat Kabinet saya ke Sabah dan kemudian ke Abu Dhabi,” kata Anwar yang ditemui selepas menyampaikan ucapan penutup Forum Khazanah Megatrends (KMF) di sini hari ini.
Beberapa portal berita hari ini melaporkan kononnya akan berlaku rombakan Kabinet esok.
Laporan itu antara lain menyebut M Saravanan dari MIC dan Hannah Yeoh dari DAP adalah nama terbaru muncul dalam perbincangan semasa mengenai rombakan Jemaah Menteri.
Saravanan mungkin kembali menganggotai Kabinet, manakala Hannah dikatakan akan dipindahkan daripada Kementerian Belia dan Sukan, yang menurut sumber dalaman perubahan berkenaan dibuat atas sebab politik.
Timbalan presiden MIC itu dimasukkan untuk mengukuhkan sokongan masyarakat India kepada kerajaan, susulan perubahan ketara dalam undi komuniti itu kepada pembangkang pada PRN enam negeri, Ogos lalu.
Spekulasi turut menyebut wakil MCAjuga mungkin dikembalikan dalam jemaah menteri susulan rombakan yang diuar-uarkan bakal dibuat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hujung minggu ini.
Perdana Menteri pada Jumaat dilaporkan berkata, tidak menolak kemungkinan membincangkan mengenai rombakan kabinet ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullahdi Istana Negara.
Bagaimanapun, jelasnya, rombakan kabinet ketika ini tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ini susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.-MalaysiaGazette