Pertemuan antara Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Howard Lee. - Foto media sosial.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How menerima baik nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengenai isu tafsiran ayat al-Quran.

Mohd Na’im menyifatkan pertemuan dengan Howard bagi membincangkan isu bersebut sebagai sangat membina dengan persefahaman bahawa Islam wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.

“Howard Lee bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” kata Mohd. Na’im dalam hantaran di media sosial.

Pertemuan Mohd Na’im dan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu berlangsung di sebuah hotel di Kuala Kangsar, Perak malam tadi.

Howard sebelum itu dikritik pelbagai pihak berikutan videonya yang memetik ayat al-Quran berhubung konsep taat kepada ulil amri dalam ayat 59 surah al-Maidah.

Howard turut mempersoalkan pendirian Pas ketika parti itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, ketika itu Pas menggalakkan orang bukan Islam menyelami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran.

Beliau bagaimanapun  tampil memohon maaf menerusi sidang media pada 26 September lalu selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Na’im akan menyelesaikan isu klip video Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Kata Mohd Na’im, perbincangan dilakukan secara dari hati ke hati dan berdialog seperti dengan dengan kawan sambil menerangkan kedudukan al-Quran dalam Islam dan sebagainya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri Agama jumpa Howard malam ini