Penyanyi nasyid dan Komposer, Yasin Sulaiman dibawa oleh anggota polis untuk mendengar keputusan akhir pendakwaan atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 3 OKTOBER 2023.

PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman berada dalam keadaan mental yang tidak waras pada 24 Mac 2022.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony berkata, penyakit Kecelaruan Afektif (Bipolar Disorder) dan hyperthyroidism yang dihadapi pelantun lagu Mimpi Laila membawa kepada gejala mania sehingga mengakibatkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk.

Menurut saksi pendakwaan itu, keadaan berkenaan memberi kesan kepada Yasin sehingga mencetuskan idea kepadanya untuk menanam pokok kanabis.

“Pada ketika itu gejala mania yang dihadapi tertuduh mencetuskan idea untuknya menanam pokok kanabis bagi membantu orang menghadapi penyakit kronik dan yang sepertinya.

“Sehinggakan beliau tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan bertentangan dari segi undang-undang. Ya saya setuju dia secara perubatannya tidak waras ketika kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang tempoh rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, penyanyi berkenaan diberikan beberapa jenis ubat berbeza mengikut keperluan bagi kedua-dua jenis penyakit tersebut.

Jelasnya, keadaan Yasin,48, semakin baik hasil rawatan sepanjang di hospital berkenaan.

Justeru, katanya, penyanyi berkenaan kini layak dihadapkan ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan dan membela diri.

“Keadaan mental beliau telah bertambah baik dengan rawatan yang diberi dan beliau stabil pada tarkh laporan ini ditulis,” ujarnya.

Yasin hari ini diarahkan untuk membela diri selepas Mahkamah Sesyen mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, Yasin memilih untuk berdiam diri.

Susulan itu, pasukan pembelaan hari ini memanggil Dr Ian Lloyd Anthony sebagai saksi.

Prosiding keterangan saksi pembelaan akan bersambung pada 17 Oktober ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Terbaiklah..lepas ni kalau sakit tak payah pergi hospital…sendiri jadi doktor, sendiri proses dadah..Oh Malaysia ku

Comments are closed.