Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman membela diri atas tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas tuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 3 OKTOBER 2023.

PETALING JAYA – Yasin Sulaiman mahu segera kembali ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk menyambung rawatan.

Justeru, penyanyi dan komposer berusia 48 tahun itu berharap proses mahkamah yang dihadapinya akan selesai dalam masa terdekat.

“Saya sekarang on heavy medication, kalau tidak saya tidak berdiri berdiri di hadapan anda semua.

“Sebenarnya saya perlu sambung rawatan di Tanjung Rambutan, tapi saya kena habiskan proses mahkamah. Saya harap saya dapat pulang segera untuk habiskan rawatan 100 peratus,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

Menurut Yasin, kini beliau ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk memudahkan dan melancarkan prosiding mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen pada hari ini mengarahkan penyanyi tersebut membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie dalam tiga pertuduhan dadah terhadapnya.

Selepas memilih untuk berdiam diri, pihak pembelaan hari ini memanggil saksi iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony untuk memberi keterangan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Yasin menyifatkan perkembangan pada hari ini sebagai satu titik perubahan untuk kes yang dihadapinya.

“Hari ini macam ada turning point untuk saya alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette