Sazila Isa, 40, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku mencuri 147 produk kecantikan dan kesihatan bernilai RM13,002.23 sejak April lalu.

MELAKA – Seorang ibu tunggal anak empat dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas empat pertuduhan mencuri 147 produk kosmetik dan kesihatan bernilai RM13,002.23 sejak April lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni dan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Sazila Isa, 40 yang membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Khairunnisak, tertuduh dengan niat curang telah mencuri 115 produk kecantikan dan kesihatan pelbagai jenis keseluruhannya berjumlah RM9,709.88.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza Farmasi Guardian di Jalan Bunga Raya dan Kipmall, Jalan Tun Fatimah, Bachang dalam daerah Melaka Tengah antara 29 April hingga 6 September lalu.

Manakala bagi pertuduhan di hadapan Sharda Shienha, tertuduh turut mengaku bersalah bagi pertuduhan mencuri 32 produk sama keseluruhannya berjumlah RM3,291.75 di Farmasi Guardian Mahkota Parade pada pukul 8.15 malam 26 Julai lalu.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman dari tarikh ditangkap dan denda rendah dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal kepada empat anak.

Kesalahan dilakukan tertuduh juga, katanya, adalah untuk melangsaikan hutangnya kerana hanya bergantung kepada bantuan zakat RM400 sebulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar dan Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman 8 bulan penjara dari tarikh ditangkap 9 September lalu dan denda RM5,500 bagi semua kesalahan itu atau dua bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ini adalah undang undang yang dipakai di Malaysia. Gajah yang banyak bahang wang rakyat tidak disumbat dalam penjara inikan semut disumbat dlm penjara.

Comments are closed.