Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau mengugut untuk mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya enggan membubarkan parti itu.

Bagaimanapun beliau mengaku pernah memberitahu Ahmad Zahid bahawa UMNO tidak dapat dibangkitkan semula lalu menasihatkannya supaya membubarkan parti berkenaan.

Dr Mahathir berkata, nasihat itu diberikan semasa Ahmad Zahid datang berjumpa dengannya selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Setakat itu, dakwaan Zahid adalah betul. Tetapi saya tidak mengugut untuk mendakwanya kerana menyeleweng dana Yayasan Akalbudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 29 Ogos tahun lalu, Ahmad Zahid mendakwa tuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya adalah ekoran ugutan yang dibuat Dr Mahathir supaya beliau membubarkan UMNO.

Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.

Dr Mahathir memberitahu, Ahmad Zahid kemudian datang sekali lagi dengan membawa fail yang tebal bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

Namun bekas Ahli Parlimen Langkawi itu meminta Ahmad Zahid menunjukkan fail itu kepada hakim kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk melakukan apa-apa.

“Beliau mengambil semula fail tersebut. Saya percaya Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas) memutuskan untuk mendakwanya dan beliau perlu memberi keterangan di mahkamah.

“Peguam Negara berhak mendakwa sesiapa sahaja jika beliau yakin bahawa ada kes. Pandangan Perdana Menteri tidak diperlukan,” jelasnya.

Dr Mahathir juga berharap agar dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan dakwaan Ahmad Zahid itu adalah benar atau sebaliknya.

“Tetapi saya tidak dipanggil. Namun, saya tetap perlu menjelaskan bahawa tidak pernah mengugut Ahmad Zahid,” katanya.

Beliau juga mengaku pernah berharap Ahmad Zahid akan mengikut langkah beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tetapi beliau (Ahmad Zahid) kelihatan bersungguh-sungguh mahu menghidupkan semula UMNO,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.