Onn Hafiz Ghazimenyempurnakan Majlis Perasmian Pembesaran LTAS di Balai Berlepas lapangan terbang hari ini.

KULAI -Kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, mampu meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang daripada empat juta penumpang setahun sebelum ini kepada tujuh juta penumpang setahun menjelang 2030.

Pengerusi Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, daripada Januari hingga Ogos tahun ini, LTAS telah mengendalikan  sebanyak 1.99 juta orang pergerakan penumpang.

“Berdasarkan unjuran SATSSB, projek naik taraf ini dijangka mampu mengendalikan jumlah penumpang lebih besar sehingga tahun 2026 dan sasaran kapasiti penumpang   sebanyak tujuh juta menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembesaran LTAS di Balai Berlepas lapangan terbang itu, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Untuk permulaan, Che Khalid berkata, LTAS yang berwajah baharu mulai Ogos lalu,  mampu mengendalikan lima juta penumpang bagi tahun ini.

Kerja-kerja yang melibatkan kos sebanyak RM11.9 juta, penyelenggaraan itu dapat meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan pengendalian penumpang oleh syarikat penerbangan, selain memberi keselesaan kepada penumpang.

Projek yang bermula sejak Mac 2020 itu jelasnya, meliputi kawasan seluas 1,690 meter persegi, sekali gus menjadikan keseluruhan keluasan Balai Berlepas LTAS kepada 9,806 meter persegi.

Ia termasuk penambahan lima pintu perlepasan, laluan pejalan kaki bertutup, tempat duduk, lif, eskalator, tangga, tandas, sistem penggera kebakaran, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), sistem litar kamera tertutup serta Wi-Fi.

Kerja-kerja ini berjaya memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), katanya.

Sementara itu, beliau bekata, sejak pengambilalihan operasi, SATSSB telah melabur lebih daripada RM620 juta untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan serta insfrastruktur operasi LTAS.

LTAS adalah antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia, mempunyai 17 destinasi penerbangan, menghubungkan bandar-bandar domestik dalam negara dan lima bandar antarabangsa iaitu Jakarta, Surabaya, Bangkok, Ho Chi Minh City dan Canton.-MalaysiaGazette