Gambar yang dikongsi wanita terbabit di media sosial.

KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang wanita mengenai suaminya berkahwin lain selepas enam tahun berkorban menjaga lelaki itu yang terlantar akibat kemalangan mengundang simpati warganet.

Perkongsian wanita tersebut bernama N**** ******* di Facebook yang mengucapkan tahniah kepada suaminya selepas mempunyai isteri baharu mendapat lebih 11,000 reaksi, hampir 10,000 perkongsian dan mendapat hampir 6,000 komen.

“Tahniah suami, moga bahagia dengan pilihan hati awak, E*** ****. Jagalah dia (suami) baik-baik sebagaimana saya pernah jaga dia. Alhamdulillah saya dah selesai dengan dia, sekarang masa untuk awak ambl alih tanggjawab saya,” katanya sambil berkongsi berberapa emoji tersenyum dalam perkongsian tidak kurang 24 jam itu.

Dalam perkongsian lain, wanita itu turut berkongsi gambar ketika suaminya dimasukkan ke dalam hospital selepas mengalami kemalangan pada bulan Ogos 2018.

Dia turut menceritakan menjaga suaminya 24 jam ketika berada dalam hospital termasuk memberi susu empat jam sekali, menukar lampin pakai buang, menyedutkan kahak selain memandikan dan membuat fisio, pada waktu sama menjaga anak mereka.

Wanita itu yang bekerja sebagai jururawat berkata, dia turut mengambil cuti separuh gaji bagi menjaga lelaki itu selain menceritakan kesembuhan suaminya yang berlaku secara berperingkat.

“Terima kasih ada yang masih sudi baca cerita kami. Sekarang hanya sejarah yang tercipta setelah bertungkus lumus selama enam tahun dan dua tahun PJJ sebelum excident. Alhamdulillah puas hati dah jaga dia, sampai masa serahkan tanggungjawab besar kepada orang baru,” katanya.

Rata-rata warganet tersentuh dengan perkongsian yang dibuat oleh wanita tersebut dan dapat merasai kepedihan dan kesedihan yang dilaluinya.

Ramai yang memberikan kata-kata motivasi termasuk meminta beliau untuk bersabar dan tabah menjalani ujian yang menimpa.

“Saya pun follow daripada suami awak excident dulu. Awak wanita hebat, Allah nak bagi yang pandai hargai awak selayaknya insya-Allah,” kata Farisha Zulkifli.

“Awak saya follow awak dari suami awak sakit. Tak boleh jalan smpai sudah baik macam ni. Lama tak nampak pos awak Tau-tau dia sudah kahwin lain. Betapa kuatnya awak. Walaupun kita tak kenal tapi saya doa ada sinar bahagia menanti awak,” doa Yanie Riyanie.

“Semoga Allah memberi ganjaran padamu atas musibah yang melanda dan menggantikannya dengan perkara perkara yang lebih baik dari ni,” komen Zirwan Al-Idrus.

“Hanya ‘lalat’ yang mencari ‘najis’ sebab itu memang ‘sekufunya’. Kamu adalah ‘lebah’ yang menghasilkan ‘madu’ sangat bernilai. Terbang bebas jauhkan diri dari toxic people yang boleh merosakkan emosi dan dirimu,” nasihat Cik Eyta.

“Ada hikmah juga semua ni. Allah SWT nak bagi puan rehat dari menguruskan manusia yang tidak mengenang budi. Masa untuk menikmati hidup bahagiamu bersama anak dan keluarga,” komen Cik Has JW.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast