JOHOR BAHRU – Kerajaan Madani tidak harus menjadikan siasatan dan penahanan terhadap mereka yang lantang bersuara atau tidak sehaluan sebagai alat bagi menimbulkan rasa takut atau menyekat ruang advokasi kepentingan awam.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rahmat Amran mendakwa, Kerajaan Madani menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 untuk menyekat kebebasan bersuara.
Jelasnya, cara tersebut dapat dilihat dalam penahanan Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew, semalam yang merupakan sebagai satu bentuk intimidasi.
“Saya turut mendokong kebimbangan yang disuarakan oleh rakan-rakan organisasi masyarakat sivil (CSO) berhubung corak penggunaan peruntukan AMLA dalam kes-kes seperti ini.
“Kedua-dua mereka bukan sahaja pimpinan parti, malah merupakan aktivis masyarakat sivil yang konsisten membela isu-isu kepentingan awam.
“Penahanan ini menimbulkan kebimbangan mendalam, khususnya berhubung asas, skop, dan proses siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan polis menahan kedua-duanya bagi membantu siasatan mengikut AMLATFPUAA 2001.
Pengasas bersama Mandiri, Mohammad Alshatri Abdullah dilaporkan berkata, kedua-dua individu itu ditahan selepas mereka hadir ke balai polis untuk memberi keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan kes berkenaan.
Rahmat berkata, sebagai sebahagian daripada kepimpinan MUDA dan individu yang percaya kepada prinsip keadilan beliau menegaskan perkara-perkara berikut.
1. Kejelasan asas siasatan: Pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan berhubung asas dan skop siasatan terhadap Dobby Chew dan Amir Hadi, termasuk sifat dakwaan serta bukti yang menjadi asas kepada tindakan tersebut, tertakluk kepada batasan undang-undang.
2. Jaminan hak individu: Hak kedua-dua mereka mestilah dihormati sepenuhnya-termasuk akses tanpa halangan kepada peguam, ahli keluarga, serta perlindungan kebajikan di bawah undang-undang.
3. Proses Sewajarnya: Sebarang tindakan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara telus, berkadar dan berasaskan bukti, bukannya secara sewenang-wenangnya.
4. Kejelasan tindakan terdahulu: Pihak berkuasa wajar memberikan pencerahan berhubung tindakan penguatkuasaan terdahulu yang melibatkan organisasi serta individu berkaitan siasatan ini bagi mengelakkan persepsi negatif.
Rahmat mempersoalkan adakah begini caranya kepimpinan kerajaan hari ini membalas jasa dan pengorbanan dua wira masyarakat yang selama ini konsisten mengangkat, mendidik serta membimbing generasi muda untuk berintegriti dan berani melawan kezaliman, korupsi, serta perjuangan hak asasi manusia?
Tindakan itu katanya, menyerlahkan kecelaruan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama parti-parti seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan seluruh gabungan dalam kerajaan Perpaduan.
Pakatan Harapan (PH) katanya, adalah gabungan yang suatu ketika dahulu megah melaungkan reformasi, kebebasan dan keadilan kini seolah-olah menggunakan instrumen kuasa untuk menekan suara-suara yang pernah berdiri bersama-sama dalam perjuangan rakyat.
“Sungguh mengecewakan apabila retorik reformasi hari ini bertukar menjadi tindakan penguatkuasaan yang menimbulkan rasa takut dan mengikis ruang demokrasi,” katanya.- MalaysiaGazette
















