kerajaan 1MDB
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mengetepikan perintah injunksi mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd yang menghalangnya mana-mana asetnya sehingga berjumlah RM42juta.

Injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Prosiding hari ini yang sepatutnya bermula awal, ditangguhkan sebentar, selepas tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan sebulat suara menolak permohonan Najib bagi kebenaran untuk merayu.

Turut sidang bersama, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Ketika membacakan keputusan bersama itu, Nalini berkata, mahkamah sebelum ini (Mahkamah Tinggi) membuat keputusan betul dalam membenarkan perintah injuksi yang memerlukan campur tangan mahkamah atasan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah diperintahkan untuk membayar kos RM30,000.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan Najib selepas memutuskan Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan mengikut peruntukan undang-undang.

Mahkamah Tinggi memberikan injunksi mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah difailkan terhadapnya.

Najib hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman sehingga beliau memfailkan rayuan.

SRC International dan Gandingan Mentari telah memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut.

Saman itu masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika ini Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta. -MalaysiaGazette