PUTRAJAYA – Sepasang kekasih yang berdepan hukuman gantung sampai mati selepas bersalah membunuh seorang seorang kanak-kanak lelaki pada 2014 menarik nafas kelegaan apabila Mahkamah Rayuan menukar hukuman itu kepada penjara 30 tahun dan sebatan.
Kanak-kanak lelaki itu merupakan anak lelaki kepada tertuduh wanita.
Tiga panel hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan 12 kali kepada tertuduh R. Saravanan Kumar, 33, manakala T Gayatry, 39, pula penjara 30 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.
Turut bersidang Datuk Zaini Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah pagi ini.
Gayatry terlepas hukuman sebatan memandangkan undang-undang melarang sebatan ke atas wanita.
Ketika prosiding pagi ini, peguam mewakili Gayatry, M Visvanathan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi yang dibuat oleh anak guamnya.
Kata beliau, pendakwaan menarik balik sabitan bunuh dan menggantikan dengan hukuman penjara 30 tahun.
”Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk menarik balik sabitan terhadap hukuman dan menggantikan dengan hukuman penjara 30 tahun,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Aziz ketika itu bangun dan mengesahkan pihaknya menerima representasi tersebut manakala peguam mewakili Saravanan, N Selvarani juga menarik balik rayuannya terhadap sabitan serta hukuman terhadap anak guamnya.
Hakim sejurus selesai mendengar hujahan pihak terlibat, Vazeer Alam memutuskan untuk menarik balik sabitan dan hukuman gantung serta menggantikannya dengan hukuman penjara 30 tahun.
“Rayuan terhadap sabitan kedua-dua perayu dibatal dan hukuman gantung diketepikan serta digantikan dengan penjara 30 tahun terhadap kedua-dua perayu bermula dari tarikh mereka ditangkap.
“Mahkamah juga memerintahkan Saravanan disebat 12 kali,” putusnya sebulat suara.
Kedua-dua tertuduh pada mulanya berdepan tuduhan membunuh S Kaviaran di sebuah rumah di Taman Keladi, Kulim, Kedah antara 20 hingga 27 September 2014.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum ini pada tahun 2020 menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap sepasang kekasih berkenaaan selepas didapati bersalah membunuh mangsa.
Ketika itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.
Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah tidak boleh menerima alibi tertuduh pertama, Saravanan Kumar bahawa tertuduh tidak berada di lokasi kejadian memandangkan tidak ada kenyataan bertulis daripada saksi.
Beliau turut mendapati tertuduh kedua, Gayathry yang juga ibu kepada mangsa tidak bertindak seperti sepatutnya seorang ibu ketika berdepan dengan situasi yang mana anaknya dibunuh.
Kanak-kanak tersebut dikatakan dibunuh secara tidak sengaja oleh ibunya di rumah mereka di Kulim, Kedah sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak di ladang sawit berhampiran Permatang Tinggi, Bukit Tengah dekat sini.
Mayatnya ditemukan oleh polis kira-kira sembilan hari selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Ibu mangsa ketika itu dilaporkan membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya hilang ketika bersiar-siar dekat Esplanade di sini, pada 23 September 2014.
Keluarga kedua-kedua tertuduh yang hadir juga kelihatan lega dan gembira dengan keputusan itu hari ini. -MalaysiaGazette
Selama 30 tahun makan minum pembunuh ni akan ditanggung oleh wang pembayar cukai..syabas!