KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas treler yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat menghala ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dekat sini pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu menerusi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Klang Selatan pukul 3.20 pagi.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah treler, lori pembersih jalan (sweeper) dan kenderaan pacuan empat roda.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada treler yang datang dari arah Pelabuhan Barat menuju ke Lebuhraya Kesas dipercayai hilang kawalan dan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di lorong kanan jalan sebelum merempuh satu lagi kenderaan iaitu sebuah lori pembersih jalan.
“Akibat perlanggaran itu, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 29 tahun yang juga pemandu treler mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hoong Fong, pada masa yang sama, dua lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapat rawatan lanjut.
Berikutan itu, Hoong Fong menegaskan aliran trafik di kawasan tersebut menjadi sesak dan lalu lintas di loksi kejadian telah dilencongkan ke arah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Jalan Perigi Nenas.
Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPN Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan awal pagi tadi mengesahkan bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan awam memaklumkan mengenai nahas jalan raya itu pukul 2.24 pagi berdekatan stesen minyak Petron di Pulau Indah, Klang.
Katanya, berdasarkan maklumat itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang telah bergegas ke lokasi nahas untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis treler 40 kaki jenis Scania, lori sweeper jenis Isuzu dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.
Mangsa pemandu treler dikenal pasti sebagai Mohd Saiful Aizat Muhamad Nor, 29 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa pemandu lori pembersih jalan serta kelindannya yang turut cedera di badan dan kepala diselamatkan oleh awam sebelum bomba tiba ke lokasi dan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.- MalaysiaGazette