Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Walaupun ciri-ciri penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit ini belum diketahui, pakar-pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.

Ia kerana, penyakit X dijangka mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola berbanding dengan Covid-19 yang kurang menyebabkan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, penularan penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia.

Menurut beliau, kadar penyebaran penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan, ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang.

“Sebagai pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit yang belum diketahui ini, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Begitu juga dengan pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-lan gkah kawalan, dan kerjasama antarabangsa. Selain itu, pendekatan “One Health” yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin,” ,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap penyakit X.

Penyakit X adalah istilah yang digunakan oleh WHO pada tahun 2018, merujuk kepada sejenis patogen yang tidak diketahui, namun ia berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.

Istilah ini diperkenalkan bagi menggalakkan peralihan tumpuan penyelidikan dari strain virus tunggal ke arah pengkelasan virus yang lebih menyeluruh, seterusnya memperkukuhkan kapasiti global dalam kesiapsiagaan
menghadapi patogen yang belum dapat dikenalpasti ini.

Muhammad Radzi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya penyakit X berdasarkan pengalaman lalu dalam menangani
penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV.

Sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang mungkin berlaku, tambah beliau.

“Walaupun kemungkinan berlakunya penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan.

“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast