Pelajar Armita Geravand yang dikatakan koma selepas dipukul oleh polis moral Iran.

TEHRAN – Aktivis menuduh polis moral Iran memukul seorang gadis kerana tidak memakai tudung dan menyiarkan gambar yang kononnya menunjukkan mangsa dalam keadaan koma.

Armita Geravand, 16, rebah selepas menaiki kereta api metro Tehran di stesen Shohada pada hari Ahad lalu.

Dia pengsan dan rakaman CCTV menunjukkan mangsa tidak sedarkan diri ketika ditarik keluar dari kereta api.

Kumpulan Hak Asasi Manusia Hengaw mendakwa, mangsa telah mengalami “serangan fizikal yang teruk” selepas dibelasah oleh polis moral.

Ketika kejadian, Armita yang ditemani dua rakan, dikatakan tidak mematuhi syarat memakai tudung hingga mengakibatkan berlaku pertengkaran dengan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka berbuat demikian.

Semasa konfrontasi ini, Armita ditolak dengan kuat, mengakibatkan kepalanya dihentak dengan objek pepejal.

Amita kini dikatakan sedang dirawat di Hospital Fajr dan diletakkan di bawah kawalan ketat dan telefon semua ahli keluarganya telah dirampas.

“Mangsa diserang secara fizikal oleh pihak berkuasa di stesen Shohada… kerana tidak mematuhi ‘hijab’ wajib.

“Akibatnya, dia mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital,” kata kumpulan itu.

Namun, pengarah operasi metro Tehran yang ditemui sehari selepas kejadian memberitahu agensi berita IRNA bahawa “perempuan berusia 16 tahun itu tidak sedarkan diri akibat tekanan darah rendah, menyebabkan dia hilang imbangan dan jatuh.”

Sementara itu, Radio Zamaneh yang berpangkalan di Amsterdam memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, remaja itu “ditolak oleh penguat kuasa hijab” selepas dia menaiki kereta api tanpa bertudung.

Tolakan itu menyebabkan kepala mangsa terhantuk pada tiang besi.

Pada malam Selasa, Hengaw menyiarkan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter gambar dipercayai Armita dalam keadaan tidak sedarkan diri di hospital.

Gambar itu menunjukkan seorang gadis berambut pendek berbaring telentang di atas katil dengan kepala berbalut dan menggunakan tiub pernafasan.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast