BENTONG – Rakyat Pelangai mahu kebajikan terjamin selain pembangunan diteruskan di bawah kepimpinan yang bakal mewarisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, melihat trend kematangan anak muda di situ beliau yakin BN mampu mempertahankan kubu kuatnya itu.
“Saya yakin dengan mood yang ada di Pelangai ini dengan rakan-rakan dan sokongan dari jentera BN dan kerajaan perpaduan di sini mampu mempertahankan kerusi DUN Pelangai.
“Orang muda mahukan wakil rakyat yang tidak memberikan janji kosong semata-mata tetapi ingin melihat bukti untuk kebajikan dan kesinambungan rakyat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui malam ini.
Tambah Mohamed Khairul Azman, wakil dari BN dan disokong pula oleh kerajaan negeri dan pusat yang begitu prihatin dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Pelangai.
“Peluang ini bukannya datang setiap hari untuk mengundi tetapi ini adalah peluang keemasan memilih wakil rakyat kerana masa depan pada empat tahun mendatang bergantung kepada keputusan yang dibuat pada Sabtu ini,” katanya. – MalaysiaGazette