BENTONG – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan pertama di Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai biar pun memasuki hari terakhir kempen.
Berkongsi pentas dengan barisan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) berbaki kurang dua jam sebelum kempen PRK DUN Pelangai berakhir.
Dalam ucapan itu, Dr Mahathir berseloroh dengan hadirin bahawa umurnya sudah lanjut hampiri 100 tahun malah sudah mencecah umur 101 bagi kalender Islam
“Ya saya umur saya 98. Kalau ambil kalendar Islam saya sudah berumur 101 tahun tetapi boleh cakap, kita cakaplah. Kita nak berjuang untuk bangsa kita, untuk negara kita, untuk agama kita. Itu perjuangan kita.
“Bukan (perjuangan) untuk duit, bukan untuk jadi Perdana Menteri. Kalau nak jadi Perdana Menteri saya tak resigned (letak jawatan) pada 2003. Saya letak jawatan tak ada siapa halau saya pun supaya nak bagi peluang kepada (Tun) Abdullah (Ahmad) Badawi. Tetapi habis juga.
“Selepas itu dapat (jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri) Najib (Razak), kita ingat elok. Tun (Abdul) Razak (Hussein) mentor saya. (Tengok-tengok) Najib pun macam itu juga. Curi duit berbilion ringgit,” dakwanya.
Terdahulu veteran politik itu pada awalnya pelik kerana tidak berjumpa dengan seorang manusia pun dalam perjalanan ke Pelangai.
“Syukur sampai juga ke tempat ini. Sebenarnya dalam perjalanan selama dua setengah jam tak nampak orang seorang pun. Macam mana nak ada pilihan raya, macam mana nak ada rapat umum kalau tak ada orang.
“Itu sangkaan saya tetapi alhamdulillah sebenarnya ramai penduduk di sini (Pelangai) dan ramai sudah hadir dalam malam (malam ini),” katanya di pentas Finale PN sebentar tadi.
Hadir sama adalah kepimpinan tertinggi PN antaranya Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Turut hadir adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.- MalaysiaGazette