Penyokong Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat plakad bertulis 'Ingat Jasa Najib' ketika hadir ke Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Dataran Purnama, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2023.

BENTONG – Hari terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai timbul kekecohan selepas berlaku flashmob ketika siri kempen ceramah mega finale Perikatan Nasional (PN) di sini malam tadi.

Ia berlaku apabila sekumpulan lelaki berjalan kaki membawa sepanduk tertera perkataan ‘Ingat jasa Najib’ ketika berarak menuju ke lokasi ceramah finale PN.

Dalam kejadian kira-kira 10.25 malam itu, kumpulan berkenaan yang terdiri daripada 15 individu tidak dikenali muncul ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pulang setelah menyampaikan ucapan.

Kenderaan Dr Mahathir ketika itu cuba meninggalkan Dataran Purnama di sini dengan dihadiri lebih 1,000 orang.

Cubaan provokasi sekumpulan pemuda itu menimbulkan rasa tidak puas penyokong gabungan PN.

Bagaimanapun cubaan itu berjaya dipatahkan anggota polis yang berkawal di kawasan tersebut dan mengarahkan kumpulan itu untuk beredar.

Kenderaan yang membawa Dr Mahathir kemudiannya meninggalkan Dataran Purnama. 

Pada 22 Ogos lalu, genap setahun Datuk Seri Najib Razak, 70, meringkuk di Penjara Kajang selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Ogos 2022, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun atas pertuduhan tersebut.

Najib gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.

Ketika ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan. – MalaysiaGazette