SERDANG – Konvensyen Akademia 2023 (KA23) anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Putra Business School selama dua hari berjaya dimanfaatkan dengan penglibatan golongan ahli akademik di negara berkaitan isu-isu negara.
Penganjuran KA23 ini bertujuan membangkitkan semangat ahli akademik ke arah membangunkan masyarakat dan negara selari dengan teras negara Madani dengan penglibatan seramai lebih 100 orang kali ini.
Objektifnya untuk memanfaatkan kewibawaan dan kesarjanaan akademia di Malaysia dalam penyelesaian masalah dan penghasilan pembuatan polisi negara, selain menghasilkan resolusi berimpak untuk kesejahteraan negara pada masa hadapan.
Menurut Presiden Akademi Professsor Malaysia, Datuk IR Dr Saleh Jaafar, konvensyen bertempat Putra Business School juga telah membentangkan kertas putih dan kertas pendirian Akademi Profesor Malaysia dari pelbagai bidang.
Jelasnya, pembentangan ini juga telah menampilkan profesor-profesor yang pakar dalam bidang masing-masing seperti Profesor Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo, Profesor Dr Rosna Awang-Hashim, Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad, Profesor Dr Chin Yee Whah, Profesor Dr Lim Hock Ean Dan Profesor Dato Seri Dr Mohd Saleh Yaapar.
“Persepsi para akademik kurang berwibawa serta kelunturan rasa hormat terhadap mereka kini semakin ketara apabila mereka dilihat tidak memberi sumbangan imu dan kepakaran masing-masing.
“Kertas pendirian ini disediakan dengan tujuan mengupas isu-isu kewibawaan dan menyediakan cadangan meningkatkan kembali kewibawaan akademia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Katanya, antara yang dibentang termasuklah Pengurusan Bersepadu Ekosistem Selat Melaka untuk Kelestarian Dan Keselamatan Makanan, Kewibawaan Akademia, Memupuk Persefahaman Perpaduan, Cegah Ektremisme Kaum dan Agama, Integrasi Wilayah dan Bangsa Malaysia.
Juga kertas pembentangan berkaitan Pendekatan Sistem dalam Mencapai Kelestarian dan Daya-Tahan Sektor Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesejahteraan Komuniti Melalui Kesejahteraan Hidup Ke Arah Ekonomi Madani dan Islam dan Keharmonian Masyarakat Malaysia Madani.
Kata Dr Saleh lagi, antara cadangan ketika KA23 ialah, AUKU perlu dipinda, autonomi dan ‘empowerment’ perlu diturunkan kepada peringkat lembaga, pengarah universiti perlu buat pemilihan serta lantikan.
“Lantikan di IPT perlu berdasarkan merit dan keseimbangan di antara kepimpinan akademik dan kepimpinan institusi. Budaya politik dalaman dan luaran di universiti perlu dielakkan.
“Juga cadangan Penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (SPT) diperlukan untuk menetapkan hala tuju strategik pendidikan tinggi negara serta mengawal selia kualiti kecemerlangan pendidikan tinggi melalui pemantauan berkala.
“Polisi dan dasar perlu diteliti semula bagi mengimbangi peranan akademia dan hala tuju IPT ke arah pencapaian penarafan (ranking). Fokus pencapaian disasarkan kepada bidang tujahan (niche) seiring dengan matlamat penubuhan setiap IPT,” ujarnya.
Selain itu, konvensyen ini juga telah menggariskan beberapa lagi cadangan berkaitan proses kenaikan pangkat, pemerkasaan jati diri dan integriti, budaya dan ekosistem pendidikan tinggi serta teknologi dan perkembangan global pada masa hadapan. -MalaysiaGazette