Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Prestasi Perikatan Nasional (PN) lebih baik meskipun tewas kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Pelangai.

Itu tanggapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyatakan, parti tersebut menghormati pilihan yang telah dibuat oleh pengundi-pengundi di DUN Pelangai.

“Walaupun PN tidak memenangi kerusi tersebut, PN menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding PRU-15 dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi.

“Majoriti yang diperolehi oleh BN pula merosot daripada 4,048 dalam PRU 15 kepada 2,949 dalam PRK ini.

“Keputusan PRK ini juga menunjukkan BN gagal menambah sokongan walaupun parti itu telah bergabung dengan PH dan seluruh jentera serta sumber kerajaan dikerah secara terang-terangan untuk membantu kempen BN,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata, beliau percaya seperti mana trend dalam pilihan raya negeri dan siri PRK sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi yang ketara antara PH dan BN.

“Sebaliknya, yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PN yang telah bertungkus-lumus berkempen dan juga kepada para pengundi di DUN Pelangai yang telah mengundi calon PN,” ujarnya.

BN mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada PRK kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru, dengan calonnya, Datuk Amizar Abu Adam menang majoriti 2,949 undi.

Amizar memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan PN yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kawasan itu Datuk Seri Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Ogos lalu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Terbaik laaa pengundi Pelangai tak termakan dgn fitnah2 kaki Sakau ni…tak payah nak cakap soal jumlah laa…di Gombak Azmin menang berapa undi? Di Tmn Medan korang menang berapa undi? haaaaa

Comments are closed.