Tertuduh, Affan Razali, 31, didenda RM2,500 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata lucah dengan niat mencabul kehormatan juruwang wanita sebuah kedai serbaneka, Ogos lalu.

MELAKA – Seorang pemotong rumput didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata lucah terhadap juruwang  di sebuah kedai serbaneka pada Ogos lalu.

Tertuduh, Affan Razali, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengeluarkan kata-kata lucah dengan niat mencabul kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Kejora 2A, Taman Perindustrian, Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada kira-kira pukul 4.14 pagi 7 Ogos lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat oleh majikan selepas mangsa mengadu ketakutan diganggu lelaki tidak dikenali yang mengeluarkan kata-kata lucah mengenai bentuk dadanya ketika membeli barang di kedai serbaneka berkenaan.

Hasil siasatan dan pemeriksaan terhadap video kamera litar tertutup (CCTV) di premis kedai itu kemudian membawa kepada penahanan tertuduh.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan sudah insaf atas kesilapannya kerana tidak dapat mengawal nafsu ketika kejadian.

Selain itu, tertuduh juga perlu menanggung isteri yang tidak berkerja dan tiga anak masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM2,500 atau tiga bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette