Seorang bekas penagih mengambil ubat pemulihan secara berjadual ketika membuat laporan khas perjuangan bekas penagih dadah di Persatuan Perlindungan Sinar Salam, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto Arkib Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meminda ndang-undang yang membolehkan individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah dihantar ke pusat pemulihan tanpa proses pendakwaan di mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan tersebut  untuk  memastikan sistem perundangan semasa kekal relevan dengan mengalihkan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara kepada program rawatan.

“Kerajaan bersetuju bahawa dasar pengalihan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah perlu dilaksanakan

“Ini bagi membolehkan individu yang menyalahgunakan dadah, memasukkan dadah di dalam badan, kalau mengikut laluan biasa polis tangkap, buka kertas siasatan, ada bukti bawa ke mahkamah, hakim jatuh hukuman masuk penjara.

“Kalau pindaan ini mendapat sokongan Yang Berhormat dalam sidang kali ini pada sesi belanjawan kali ini, insya-Allah kita pinda bagi membolehkan pesalah jenis ini setelah disahkan oleh pegawai perubatan, kita akan terus bawa mereka ke pusat pemulihan,” katanya ketika membentangkan Reformasi Penjara dan Pusat Tahanan di Dewan Rakyat.

Katanya, pindaan akan dilakukan sekiranya mendapat sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen.

Selain itu katanya, KDN juga bersetuju untuk mewujudkan Peraturan-Peraturan Lokap baru bagi menggantikan Kaedah-Kaedah Lokap 1953 yang tidak pernah dikaji sejak 70 tahun lalu.

Jelas beliau, keperluan semasa untuk menjamin hak asasi tahanan dan menambahbaik pengurusan lokap bergerak seiring sekaligus mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti kematian tahanan dalam lokap.

Saifuddin berkata, ia termasuklah Menjalankan pemeriksaan kesihatan/fizikal ke atas Orang Kena Tuduh (OKT) sebelum dimasukkan ke dalam lokap atau sekiranya terdapat masalah kesihatan.

“Melaksanakan pemeriksaan berkala bagi memastikan pematuhan kepada arahan/SOP diikuti di dalam lokap,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, Jabatan Penjara Malaysia juga berhasrat untuk melaksanakan Tahanan Rumah dan “Penangguhan Hukuman dengan Intervensi.

Tambah Saifuddin, pelaksanaan Tahanan Rumah akan memberi kelonggaran kepada golongan tertentu khususnya ibu mengandung untuk menjalani hukuman di luar penjara.

Katanya lagi, dalam masa yang sama pelaksanaan Tahanan Rumah akan dapat mengurangkan kadar kesesakan di penjara.

“Seorang wanita dijatuhkan huluman atas apa pun kesalahan sedang hamil, kerana hukumannya itu dia mesti ditempatkan di penjara. Kalau kita boleh adakan tahanan di rumah ibu hamil ini yang sepatutnya berada di rumah jaga kehamilan, kita pakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD).

“Kalau kita tidak terokai cara ini, ibu hamil itu akan jadi penghuni penjara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette