Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Tempoh projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) perlu dilanjutkan kepada 83 bulan.

Demikian rumusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di dalam laporan prosiding berhubung kemajuan projek pembinaan LCS, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Sehubungan itu Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi berkata, TLDM dijangka akan memperoleh kelima-lima LCS pada 2029.

“Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima unit namun kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Peningkatan kos, katanya, berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion).

Selain itu, menurut Shu Qi, sehingga kini, pengurangan bilangan LCS yang sebelum ini dikurangkan daripada enam kepada lima masih belum berlaku.

Katanya, sehingga kini isu utama berkaitan rekaan terperinci LCS juga masih belum diselesaikan.

“Kini ia berada pada kadar 96 peratus kesiapan peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group daripada Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.

“Kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa rekaan terperinci perlu disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6.

“Bagaimanapun, keputusan kerajaan mengambil alih BNS melalui Ocean Sunshine Bhd. (SPV) dapat membantu mengembalikan kepercayaan pemegang saham, pihak bank dan pihak pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS,” katanya.

Tambah beliau, Supplement Agreement (SA) 6 yang ditandatangani pada 26 Mei 2023 tidak mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ia kerana jabatan itu menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA 6 yang perlu terlebih dahulu.

“Keputusan kementerian membelakangkan AGC dalam menandatangani SA 6 ialah tindakan tidak wajar kerana boleh memberi implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” katanya.

Sementara itu PAC mengesyor supaya Kementerian Pertahanan memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat ditetapkan iaitu kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserah kepada TLDM pada Ogos 2026.

“Kementerian dan TLDM bertanggungjawab memastikan keseluruhan projek pembinaan lima buah LCS bernilai RM11.22 bilion disiapkan serta diserah kepada TLDM mengikut tempoh dan kos yang telah dipersetujui dalam SA 6.

“Kementerian dan agensi kerajaan hendaklah memastikan supaya draf kontrak yang dirunding dengan syarikat telah dirujuk dan disemak sebagai teratur serta dipersetujui oleh AGC terlebih dahulu sebelum ditandatangani.

“Jabatan Audit Negara (JAN) perlu menjalankan pengauditan sebelum LCS 1 diserah kepada TLDM dan membentangkannya di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette