Idrus Harun
Idrus Harun

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Amanah Raya Berhad mulai hari ini.

Menurut Amanah Raya, Idrus merupakan pemegang Ijazah Sarjana Undang-undang dengan kepujian dari Universiti Malaya dan memulakan kerjaya dalam bidang perundangan sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara sebelum mengembangkan kerjayanya sebagai Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Katanya, berbekalkan pengalaman selama lebih 42 tahun dalam bidang perundangan, Idrus telah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di beberapa jabatan antaranya Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Bahagian Pendakwaan di Jabatan Perundangan Negara.

“Beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Penggubal Undang-undang Parlimen.

“Beliau sebelum ini telah dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada April 2006 dan menyandang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan pada September 2014, seterusnya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada November 2018,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Amanah Raya berkata, pada Mac 2020, Idrus telah dilantik sebagai Peguam Negara dan berkhidmat sehingga persaraan beliau pada September lalu.

“Amanah Raya percaya dengan pengalaman luas dan kecemerlangan beliau dalam bidang perundangan, Idrus berupaya membawa Amanah Raya ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya. – MalaysiaGazette