Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan agar pemeriksaan kewangan terhadap anggota polis yang mempamerkan gaya hidup mewah dilaksanakan secara teliti dengan segera.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia adalah langkah penting bagi memerangi rasuah dalam pasukan polis.

“MCW berpendapat kerjasama erat antara pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat penting bagi mengatasi masalah rasuah dalam negara dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam rakaman video yang tular baru-baru ini mengenai komitmennya untuk membanteras rasuah dalam pasukan tersebut.

Jais memberitahu, MCW menyifatkan kenyataan tegas Mohd Shuhaily itu adalah langkah proaktif yang amat dihargai.

Menurut beliau, Mohd Shuhaily dengan jelas menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan-tindakan yang merosakkan imej dan integriti pasukan polis serta melemahkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan.

“Kenyataan tegas dan proaktif tersebut juga merupakan pemangkin untuk membawa perubahan positif dalam pasukan polis Malaysia.

“MCW berharap kenyataan ini akan menjadi titik permulaan dan galakan agar lebih banyak usaha memerangi rasuah pada semua peringkat lapisan masyarakat serta pelbagai institusi di negara kita,” jelasnya.

Jais berkata, MCW juga komited untuk bekerjasama dengan Mohd Shuhaily, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah dan pentingnya pemupukan budaya integriti dalam institusi-institusi yang menjaga keamanan negara seperti polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast