KUANTAN – Seorang remaja maut apabila motosikal diboncengnya dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Dong, Raub pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 11.10 pagi.
Susulan itu, tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Hanzolaf Mohd Faizol, 15 dan Muhammad Arif Aiman Mohd Razali cuba membelok ke kanan ketika dirempuh lori terbabit.
Akibat kemalangan itu, Muhamad Arif Aiman meninggal dunia manakala Hanzolaf dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Raub untuk rawatan lanjut.
Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















