Lim Hui Ying
Lim Hui Ying. -foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kadar keciciran murid dan pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara didapati menurun, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Katanya, kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.07 peratus pada 2022.

“Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.14 peratus pada tahun 2019 kepada 0.99 peratus pada tahun 2022, namun, KPM akan memuktamadkan data kadar keciciran murid bagi tahun 2023 selepas menerima maklumat enrolmen dari agensi selain KPM,” katanya menjawab pertanyaan lisan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun bagi tempoh sama, tambah beliau, keciciran murid bagi tahun 3,4, dan 5 menunjukkan peningkatan manakala tahun 2 dan tahun 5 menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan 2 dalam tempoh tahun 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan kadar keciciran yang melibatkan tingkatan 3, tingkatan 4 dan tingkatan 5 dalam tempoh berkenaan,” jelas Hui Ying.

Bagi kategori jantina, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan trend penurunan dari 2019 hingga 2022 iaitu 0.16 peratus pada 2019 kepada 0.09 peratus pada 2022 manakala tiada keciciran murid perempuan pada tahun sama.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan berbanding kadar keciciran murid perempuan yang meningkat dari tahun 2019 kepada tahun 2022.

“Pada tahun 2019, kadar keciciran murid lelaki mencatatkan 0.72 peratus berbanding 0.29 peratus pada tahun 2022.

“Kadar keciciran murid perempuan pula mencatatkan 0.40 peratus pada tahun 2019 kepada 0.71 peratus pada tahun 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, sebab utama murid berhenti adalah tidak berminat ke sekolah, bekerja, masalah keluarga, berkahwin dan sukar ke sekolah disebabkan faktor jarak.

Menurut Hui Ying, kementyeriannya melaksanakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) supaya semua murid dapat kekal bersekolah terutamanya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sekolah Model Khas K9 telah diperluas dari 12 buah sedia ada kepada 17 buah.

“Selain itu, KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11). Konsep Sekolah Model Khas K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4. Sebagai permulaan, KPM telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang dan di SK Long Bedian, Baram, Sarawak.

“KPM juga telah menjalankan program outreach murid cicir di semua PPD dengan kerjasama komuniti setempat. Objektif program outreach murid cicir ini adalah memberi intervensi berfokus bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah. Pada tahun 2022, program ini telah berjaya mengembalikan seramai 5,121 orang murid sekolah rendah dan 1,711 orang murid sekolah menengah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette