Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menambah kakitangan di Bahagian Pengurusan Halal yang mengalami kekurangan pekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menangani masalah berkenaan.

Antara yang dibincangkan antara dua jabatan tersebut adalah menyerap graduan universiti awam berkelulusan kimia dan syariah untuk ditempatkan di Bahagian Pengurusan Halal Jakim.

“Graduan ini bila keluar kita harap dapat wujudkan skim khusus untuk mereka yang terlatih di bahagian kimia dan syariah ditempatkan di Bahagian Pengurusan Halal secara tetap.

“Dengan cara sedemikian kita harap agar dapat memastikan pengiktirafan oleh badan antarabangsa terhadap pensijilan badan Jakim dapat dikekalkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Perikatan Nasional) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na’im mengakui 171 kakitangan di Bahagian Pengurusan Halal adalah jumlah yang tidak memadai dengan tugas yang dipikul oleh bahagian tersebut.

Selain itu beliau berkata, Jakim memperkenalkan prosedur khusus bagi pelaksanaan pensijilan halal Malaysia dengan syarat dan keperluan lebih komprehensif bersesuaian  di peringkat antarabangsa demi memastikan syarikat luar negara mematuhi standard halal negara ini.

“Syarikat luar negara yang memohon pensijilan halal Malaysia disyaratkan membangunkan sistem jaminan halal, piawanan ini dibangunkan berdasarkan konsep build in, untuk pemantauan Jakim,” jelasnya.-MalaysiaGazette