KUALA LUMPUR – Malaysia sedih dengan tindakan keterlaluan Israel yang mengebom dan memusnahkan kawasan yang sepatutnya dipelihara.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rejim tersebut tidak sepatutnya melakukan serangan secara berterusan di kawasan-kawasan tidak sepatutnya.

“Kita amat sedih dengan apa yang berlaku kerana pengeboman berterusan sehingga ke saat ini tanpa mengambil kira lunas antarabangsa termasuklah pengeboman dan pemusnahan kawasan-kawasan yang sepatutnya dipelihara antaranya hospital, sekolah, masjid.

“Demikian juga kawasan Gaza yang telah diputuskan bekalan elektrik juga tiada bekalan makanan dan sebagainya. Ini merupakan tidnakan kezaliman keterlakuan oleh pihak Israel,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.

Turut hadir ketika sidang media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali serta beberapa Ahli Parlimen daripada Pas dan DAP.

Dalam masa yang sama, Zambry mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan RM1 juta yang dikumpul daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Mengulas lanjut beliau berkata, sumbangan awal tersebut merupakan solidariti rakyat Malaysia yang berterusan kepada Palestin.

“Terima kasih semua pihak khususnya ahli Parlimen yang berdiri di hadapan kita mewakili parti-parti yang ada dalam negara tanpa mengira latar belakang atau fahaman sama ada latar belakang agama atau bangsa.

“Pada hari ini kita semua berdiri teguh atas satu hasrat menyatakan dukungan kita dalam usaha untuk memastikan supaya pembelaan sewajarnya diberikan terhadap kedudukan dan nasib rakyat Palestin di Gaza dan seluruhnya.

“Oleh yang oleh demikian Kerajaan Malaysia memutuskan untuk meneruskan tabung AAKRP yang telah diwujudkan. Dengan perkembangan semasa kita gerakkan tabung ini melibatkan semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Walid mengucapkan penghargaan kepadada kerajaan dan seluruh rakyat negara ini kerana sentiasa bersama Palestin yang kini berhadapan dengan keadaan kritikal.-MalaysiaGazette