KUANTAN – Penghuni 16 buah rumah di Cameron Highlands di arah berpindah serta-merta berikutan kejadian tanah runtuh sejak pukul 11.15 pagi tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, kejadian dilaporkan berlaku di Sungai Ruil Golden Hill, Cameron Highlands.
“Sejurus anggota dan pegawai tiba di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh yang menyebabkan berlaku kerosakan kepada beberapa parkir kereta berbumbung kira-kira 10 peratus dan tiga buah motosikal tertimbus,” katanya dalam kenyataan.
Pihak bomba seterusnya membuat pemeriksaan lanjut di lokasi dan mendapati masih terdapat pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
Ekoran itu, bomba mengarahkan penghuni di 16 buah kediaman di kawasan penempatan semula Orang Asli itu untuk mengosongkan kawasan rumah masing-masing sehingga arahan seterusnya.
Tambah Zulfadli, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dan punca kejadian tanah runtuh masih dalam siasatan kerana tidak berlaku sebarang hujan di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette