KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 merangkumi tiga bidang tumpuan iaitu melaksanakan reformasi bagi meningkatkan tata kelola dan sistem penyampaian awam; mentrasformasikan ekonomi dan perniagaan, di samping meningkatkan kesejahteraan.
Tinjauan Ekonomi 2024 berkata, Malaysia menghadapi prospek ekonomi global yang mencabar, di samping kekangan fiskal negara.
Seawal 2024, pembaharuan fiskal penting bagi menyediakan ruang fiskal untuk menyokong pertumbuhan dan penstrukturan semula ekonomi di samping memenuhi keperluan rakyat,
Oleh itu, kerajaan komited untuk menggubal Akta Tanggungjawab Cukai bagi mengurangkan defisit fiskal secara beransur-ansur dan merasionalisasi subsidi ke arah lebih bersasar.
Pembaharuan institusi juga dilakukan untuk mengukuhkan tata kelola serta meningkatkan keberkesanan penyampaian awam dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.
Transformasi ekonomi di bawah Belanjawan 2024 bertujuan untuk mencetuskan pembaharuan bagi pelaksanana Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal RMK-12.
Pelbagai inisiatif akan dilaksana untuk mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan.
Pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana akan diberi penekanan melalui aspek kemudahan pembiayaan, daya saing, peningkatan kemahiran, modal insan dan orientasi berasaskan eksport.
Malaysia menyasarkan pemerkasaan inovasi dalam ekonomi Islam, khususnya kewangan Islam dan produk halal.
Bagi menterjemahkan matlamat Ekonomi Madani untuk ‘menaikkan lantai’, Belanjawan 2024 menetapkan inisiatif meningkatkan kualiti hidup rakyat seiring dengan hasrat ‘menaikkan siling’ potensi ekonomi Malaysia.
Kualiti hidup lebih tinggi merangkumi mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang wajar, keterangkuman dan peluang yang saksama, akses sejagat kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan dan kemudahan asas bertaraf dunia serta jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif.
Inisiatif ini termasuk memastikan golongan berpendapatan rendah terus dibantu bagi mendepani cabaran kos sara hidup, sejajar dengan peralihan ke arah subsidi bersasar. – MalaysiaGazette