Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula esok hingga 31 Mac 2024 dengan kadar 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh.

Diskaun 10 peratus juga diberikan kepada bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayar.

Selain itu, peminjam diberi diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024, hari ini.

“Hutang mesti dibayar. Bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam,

“Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024,” katanya.

Dalam pembentangan sama, Anwar turut mengumumkan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.

Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

“Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau tidak mahu mahasiswa sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester.

Katanya, bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast