Kaunter-kaunter kelihatan kosong selepas operasi penerbangan MYAirline ditutup serta merta hari ini ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan syarikat penerbangan MYAirline yang menutup operasinya secara mengejut wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam industri ini pada masa depan.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) cukup kesal dengan kejadian tersebut kerana sehingga hari ini tidak ada satu pengurusan MYAirline yang tampil menjelaskan situasi sebenar.

Sebaliknya, berdasarkan maklumat, difahamkan ada dalam kalangan pengurusan MYAirline sudah berada di luar negara.

Jelasnya, adalah tidak masuk akal apabila sebuah syarikat penerbangan yang disangka gah dan bagus boleh melakukan benda yang tidak masuk akal.

“Tidak ada langsung pihak pengurusan yang tampil ke depan, itu yang pelik. Mana mereka semua hilang?.

“Bayang pengurusan mereka pun kita tak nampak,malah pekerja pun ditinggalkan begitu saja. Adakah syarikat ini mempunyai pihak pengurusan yang telus dan bersikap tanggungjawab?,” soal NUFAM dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dakwanya, masalah kewangan syarikat ini sudah lama, bukannya baru namun hanya ada beberapa pihak mungkin tidak sedar dan lambat bertindak.

“Ada antara kakitangan MYAirline sudah tahu masalah ini berlaku tapi takut hendak bertindak dan bersuara,” ujarnya lagi.

NUFAM mendakwa, insiden seperti ini bukan sekali berlaku tetapi pernah berlaku beberapa tahun lalu yang mana beberapa syarikat penerbangan telah memperdayakan kakitangan mereka dengan tidak membayar gaji.

Dan, NUFAM hairan jika insiden seperti ini masih tidak memberi pengajaran besar agar berwaspada kepada syarikat penerbangan yang berhadapan dengan masalah kewangan.

Oleh itu, katanya, lesen kelulusan kepada mana mana syarikat penerbangan harus diperketatkan.

“Isu ini harus diambil serius dan dipantau kerana syarikat boleh ditutup saja pada bila-bila masa tanpa isyarat. Yang menjadi mangsa akhirnya adalah pengguna dan pekerja,” ujarnya.

Lantaran itu, NUFAM berharap pihak berkuasa akan bertindak pantas menyelesaikan masalah ini kerana ramai terjejas dengan apa yang telah berlaku di MYAirlines.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast